Iklan

Friday, September 18, 2015

Kisah ibu terkilan dalam telemovie khas Aidiladha TV1

Betullah kata pepatah, kasih ayah masa berada, kasih ibu membawa ke syurga. Pengorbanan seorang ibu itu tidak terbalas dan peranan seorang anak untuk menggembirakan dan membahagiakan si ibu. Hubungan ibu dan anak sememangnya amat rapat apatahlagi dengan pengorbanan seorang ibu mengandungkan zuriatnya selama sembilan bulan sepuluh hari.

Namun sejauh mana rapatnya hubungan itu, ia tidak terlepas daripada dugaan dalam membuktikan kesungguhan seseorang itu menyayangi ibunya. Berlatarkan kisah ibu dan anak yang diduga hanya kerana salah sangka, Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Unit Drama TV RTM menerbitkan telemovie bertajuk “Kalimah Dari Birai Sejadah”.

Disiarkan khas sempena Hari Raya Aidiladha pada 24 September ini, pukul 9.30 pagi di TV1, ia mengisahkan tentang seorang ibu, Salbiah yang terkilan setelah mendengar doa dari anaknya Sufiah. Sufiah seorang wanita bekerjaya memiliki butik pakaian sendiri, dan ibu kepada dua orang anak yang sedang membesar, Harris dan Haikal.

Hubungan mereka dua beranak sangat rapat dan saling menjaga antara satu sama lain. Apatahlagi Sufiah sedang sarat mengandung anak ketiga dan suminya, Rizal sibuk dengan kerjanya sebagai pemandu teksi.

Berlaku kejadian yang tidak diingini menyebabkan Salbiah koma. Namun selepas sedar daripada koma, Salbiah mula dingin terhadap anaknya sedangkan Sufiah begitu mengambil berat kesihatan dan berharap ibunya sembuh.
Satu adegan dalam drama

Pelbagai cara digunakan Salbiah untuk keluar dari rumah anaknya itu. Ia termasuklah meminta menantunya menghantar dia ke Pusat Rawatan Warga Emas. Rizal tidak setuju dan cuba memujuk ibu mentuanya supaya terus tinggal bersama mereka.

Salbiah kemudiannya nekad keluar dari rumah Sufiah dan ingin meneruskan kehidupannya di kampung. Dia meminta abang dan kakaknya membawa dia tinggal bersama mereka di kampung.

Sementara itu Sufiah terus menderita memikirkan kesalahan yang dilakukannnya. Dia amat menyayangi ibunya dan tidak mahu menjadi anak derhaka. Mujur Rizal memahami situasi isterinya dan cuba mencari jalan memperbetulkan keadaan.

Di sebalik kejadian tersebut sebenarnya Salbiah menyimpan satu rahsia. Dia sebenarnya ‘terasa hati’ dan merajuk dengan doa yang dipohon oleh Sufiah ketika dia sedar daripada koma.


No comments: